Salam Ramadhan semua.
Ya, cabaran #2 [iPad MySuperKids] dah bermula dengan tema DUIT dan Ramadhan. Boleh pilih nak tulis pasal duit atau nak tulis pasal Ramadhan atau kedua-duanya sekali.
Hmmm..sahabat baik aku yang sekarang sedang menuntut di Australia ada memberi cadangan bernas, banyak sebenarnya cadangan yang telah diberi. Daripada berapa belas cadangan beliau (banyak kan? bijak sungguh sahabat aku ini, tengah buat PhD, mestilah bijak kan hehe), aku terpanggil untuk menulis tentang DUIT RAYA dan kenangan bersamanya. Ya, walaupun kisah mengumpul duit raya tiada kaitan dengan Ramadhan, namun aktiviti ini ditunggu oleh kami adik beradik dan sepupu sepapat sepanjang Ramadhan.
Kebiasaannya, kami sekeluarga akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri di rumah arwahTok Nab, mak Baba, di sebuah perkampungan sawah berhampiran Gunung Keriang, Alor Setar. Malam terakhir puasa kami dah berkumpul ramai2 depan TV arwah Tok Nab sambil Tok, kakak2 Tok dan Mama/Mak sibuk keletung keletang di dapur. Kami adik-beradik perempuan dan sepupu2 perempuan pun sibuk juga, keletung keletang dengan lesung batu Tok, tumbuk inai untuk dipakai malam tersebut. Lepas semua jari-jemari kami bersalut inai, masing-masing akan 'gantung tangan' supaya inai tak terpalit di mana2. Sebenarnya ini alasan untuk tidak menolong di dapur hehhe.
Pagi raya. Semua orang akan berebut nak masuk bilik mandi rumah arwah Tok. Mujur bilik mandi Tok ada dua, boleh gilir-gilir dan sebab masa tu masing-masing kecil lagi, boleh kongsi bilik mandi dengan sepupu atau adik beradik yang lain. Lepas mandi, masing-masing akan tayang baju raya baru dan bersiap cantik2 untuk ke masjid. Aktiviti yang paling ditunggu sebenarnya ialah lepas habis sembahyang Sunat Aidil Fitri sebab waktu ni la Baba, arwah Pak Lang dan Paksu (adik2 Baba) akan agih-agihkan duit raya. Masa tu arwah Pak Lang dan Pak Su akan bagi duit RM2 saja pun tapi bagi kami semua, RM2 tu pun dah banyak. Bukan macam sekarang, RM5 pun macam tak cukup. Duit raya yang kami dapat tu wangi, masih baru dan berturut no. sirinya. Biasala, duit tu ditukar di bank semasa bulan puasa, mestilah wangi dan baru. Sampul pun cantik2, kadang-kadang sampul bank, kadang-kadang sampul pasaraya besar dan semua orang akan simpan baik2 duit dan sampul tu.
Lepas makan hidangan yang pelbagai sampai penuh meja bulat kat rumah arwah Tok tu, aku dengan adik-adik dan sepupu kami akan mintak kebenaran keluar rumah dari Baba sebab nak pusing kampung, kutip duit raya. Zaman tu takde masalah pun kalau budak2 nak keluar tanpa ibu bapa. Takde orang risau pun pasal kes culik atau rogol atau rompak. Biasanya aku lah ketua sebab aku pernah tinggal dengan arwah Tok dan kebanyakan jiran (yang sebenarnya adik beradik Tok jugak) kat kampun tu aku kenal.
Oleh sebab kampung Tok ni perkampungan bendang, ianya memanjang, sepanjang parit/tali air yang membekalkan air ke sawah padi disekeliling kampung. Kalau ikut orang kampung Ahmad, diorang panggil 'tebuk', kalau ikut Baba pulak, katanya 'peda', diambil dari perkataan Inggeris, "feeder" merujuk kepada tali air yang 'feed' air kepada bendang2. Walaupun kampung ni panjang, kami tak rasa penat pun sebab setiap buah rumah agak rapat dan kadang2 bertembung tengah jalan pun akan ada orang sedekah duit raya. Biasanya kami akan ziarah rumah jiran terdekat dulu dan minum/makan juadah yang terhidang. Dodol, ketupat, nasi himpit, ayam masak merah, kurma daging, laksa, bihun sup....ughhh...sebuah rumah pun dah kenyang.
Selalunya bila ziarah rumah ke rumah, kami akan dapat RM0.20-RM0.50 (dua kupang atau lima kupang kata orang utara) sebuah rumah. Kami simpan baik2 duit tu dalam beg galas yang comel. Habis melawat jiran terdekat dan perut pun kembali kenyang, kami berjalan sampai ke hujung kampung dan mula dari hujung balik ke rumah Tok. Sebab rumah Tok ditengah2 kampung, kami akan ke hujung kanan kampung dulu dan patah balik ke rumah Tok untuk makan. Sebabnya kami akan makan kuih raya saja bila menziarah rumah yang jauh2. Lepas dah makan tengah hari di rumah Tok, baru kami menziarah rumah sebelah kiri kampung pulak. Perancangan kena rapi, baru boleh kumpul duit raya banyak hehe.
Menjelang tengah hari, beg kami akan berbunyi rancak dengan duit2 syiling yang terkumpul. Sampai rumah Tok, duit pusingan pertama kami simpan baik2 dalam beg balik kampung masing2. Lepas makan, kami pun bersedia untuk pusingan kedua. Kadang2 ada orang tumpangkan, biasanya kami jalan kaki pelan-pelan sambil nyanyi lagu raya. Kadang2 kena ligan dengan angsa, kadang2 kena sakat dengan budak2 lelaki yang lebih tua. Semuanya kami tak peduli, demi mengumpul duit raya. Lepas habis pusing kampung pun boleh dapat duit raya lagi, tetamu Tok yang bagi. Arwah Tok selalu masak macam2 dan dia pun memang pandai masak, jadi ramai yang akan datang. Lagipun, arwah Wan tok guru Quran kampung tu, jadi ramai jugak ibu bapa yang akan bawa anak2 diorang datang melawat.
Arwah Tok pun biasanya akan suruh Baba tukar duit kertas dengan duit syiling banyak2 sebelum raya. Arwah akan letak duit tu dalam batil besi ditepi pintu masuk rumah. Kalau ada budak2 kampung yang datang beraya, Tok akan jemput masuk. Biasanya budak2 tu tak masuk, macam kami jugak, tunggu kat luar saja dan bila dah dapat duit, diorang akan ke rumah lain pulak. Tok selalunya bagi sorang dua kupang tapi menjelang tahun 90-an, Tok naikkan jumlah tu jadi lima kupang. Waktu ni, aku, adik2 aku, sepupu2 kami pun dah tua dan tak buat dah aktiviti pusing kampung kutip duit raya heheh.
Duit raya yang dikumpul bukan diguna untuk membeli apa2. Mama dan Baba selalu pesan kena berjimat cermat, jadi masing2 dah ada akaun bank sendiri. Biasanya lepas raya, Mama akan tolong kami kira duit2 syiling yang banyak tu dan bungkus elok2 dalam kertas untuk dibawa ke bank nanti. Syiling sekupang sebungkus RM5, syiling dua kupang pun sama. Syiling lima kupang plak, sebungkus RM10. Kadang2 Mama akan cukupkan kiraan duit raya kami adik beradik. Contohnya, kalau aku dapat RM83, Mama akan tambah bagi cukup RM85 atau RM90. Sekarang ni jumlah ni macam sikit saja kan tapi masa tu, bagi kami, duit ni dah cukup banyak.
Bila dikenang kembali, rindu pulak zaman kanak2 tu. Waktu kami pindah ke Alor Setar dan tinggal di kawasan perumahan, tak ramai pun budak2 yang datang rumah untuk beraya dan kutip duit raya. Bila beraya rumah Tok pun dah tak semeriah waktu kami kecil. Tok dah tak larat nak masak bagai, Wan pun waktu tu dah meninggal, jadi orang yang datang beraya pun dah kurang. Masa Baba bawak Tok tinggal dengan dia pun macam tu, tak ramai orang datang melawat. Mungkin sebab diorang tak tahu rumah Baba di mana, mungkin diorang tertunggu2 Tok balik kampung.
Entah la, yang pasti kenangan kutip duit raya tu hanya tinggal kenangan. Kesian anak2 aku, tak dapat merasa suasana raya yang semeriah dulu.
“Entri ini ditulis untuk cabaran #2 iPad MySuperKid yang direviu oleh fazya nisa’ & Adam Mohamad
dan ditaja oleh Adorable Muslimah“
Cool! Kenangan masa kecil.
ReplyDeleteGood Luck!
Thanks Mommy Fara
ReplyDeleteGood luck to you too!